Wednesday, 13 November 2013

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1435H

Drpd AJK Pembinaan & Pengurusan Masjid Jamek Puchong Prima

Manusia seperti sebuah buku..

Muka hadapan adalah tanggal lahir
Muka belakang adalah tanggal kematian
Setiap lembaran adalah tiap hari dalam hidup kita dan apa yang kita lakukan
Ada buku yang tebal
Ada buku yang nipis
Ada buku yang menarik dibaca,
ada yang sama sekali tidak menawan..
Sekali tertulis, tidak akan pernah bisa di"edit" lagi
Tapi hebatnya..seburuk mana pun halaman sebelumnya,
selalu tersedia halaman selanjutnya yg putih bersih, baru dan tiada celanya..

Sama dengan hidup kita, seburuk mana pun kelmarin, 
Allah SWT sentiasa menyediakan hari yang baru untuk kita
Kita selalu diberi kesempatan baru untuk melakukan sesuatu yg benar 
dalam hidup kita setiap harinya
Kita selalu bisa memperbaiki kesalahan kita dan..
meneruskan jalan cerita menyusuri masa depannya 
Sampai saat usia berakhir, yang sudah ditetapkanNya

Terima kasih yang tidak terhingga wahai Allah SWT
untuk hari yang baru ini..
Syukuri hari ini...dan isilah halaman buku kehidupanmu 
dengan hal-hal yang baik semata

Dan..jangan pernah lupa, untuk selalu bertanya kpd Allah SWT
Tentang apa yang harus ditulis tiap harinya
Supaya pada saat halaman terakhir buku kehidupan kita selesai
Kita dapati diri ini sebagai insan berperibadi yang berkenan kepadaNya
Dan..buku kehidupan itu layak untuk dijadikan teladan
Bagi anak-anak kita dan sesiapapun setelai usai kita nanti

Selamat menulis dibuku kehidupanmu,
Menulislah dengan tinta cinta dan kasih sayang, serta pena kebijaksanaan

Salam Maal Hijrah
Semoga tahun ini lebih baik dari yang terdahulu...
Wassalamua'laikum wbt..   

Thursday, 3 October 2013

Keberkatan dan Kelebihan Hari Jumaat

  Pengenalan
Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.
  Penghulu Segala Hari
Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.
  Kelebihan Hari Jumaat
Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu 1) Allah ciptakan Adam , 2) Allah turunkan Nabi Adam ke bumi,3) Allah mematikan Nabi Adam, 4) Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. 5) Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.( Riwayat Hadis Muslim)Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

  Kelebihan Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.Malaikat Turun ke Bumi Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
  Kesimpulan
Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)

Thursday, 18 July 2013

Sudut Pandang ( Ramadhan Al Mubarak)

Kita bagaimana...???

IMAN adalah..."MUTIARA...". Carilah kemanisannya dengan bersungguh-sungguh, mulai Ramadhan 1434H


Monday, 8 July 2013

PUASA

Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”.(Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Pengertian Puasa : Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Hukum – Hukum Puasa
1.        Wajib
2.       Sunat
3.       Makruh
4.      Haram
Puasa wajib :
Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, qada’ puasa Ramadhan,puasa kifarah & puasa nazar.                                                                                                                                                                             
Puasa Sunat :
1.        Puasa dalam bulan Sya’ban
2.       Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
3.       Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
4.      Puasa hari Tasu’a dan‘Asyura pada 9 dan 10 Muharram
5.       Puasa pada hari Isnin dan Khamis
6.      Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 dan 15
7.       Puasa satu hari berbuka satu hari
8.      Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.
9.      Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab

Puasa Makruh :
1.        Menentukan hari untuk berpuasa seperti jumaat sahaja,Sabtu & Ahad sahaja
2.       Berpuasa sepanjang tahun
Puasa Haram :
1.        Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
2.       Puasa pada hari syak iaitu pada hari 30 Sya’ban
3.       Puasa pada hari raya aidil fitri,hari raya aidil adha dan hari-hari Tasyrik
4.      Puasa perempuan haid & Nifas
5.       Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
Syarat-syarat Puasa
Terbahagi kepada 2 :
1.        Syarat-syarat wajib
2.       Syarat-syarat sah
Syarat wajib
1.        Islam    2. Baligh     3. Berakal     4. Berupaya(sihat)     5. Bermukim
Syarat Sah
1.        Islam     2. Berakal     3. Bersih daripada haid & Nifas sepanjang hari     4. Niat

Rukun Puasa
 1.    Niat - Menahan diri dari makan & minum serta perkara-perkara yang membatalkannya
2.       Masa Puasa - Puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari

Faedah Puasa
1.        Melahirkan perasaan belas kasihan terhadap golongan miskin
2.       Mendidik nafsu & jiwa kearah kebaikan
3.       Dapat merasai apa yang ditanggung oleh golongan miskin
4.      Puasa merupakan perbuatan taat kepada Allah
5.       Mendidik budi pekerti untuk memiliki sifat-sifat terpuji
6.      Puasa mengajar seseorang supaya beramanah terhadap diri sendiri
7.       Puasa mengajar kesabaran dan berperaturan
8.      Puasa menyebarkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan dalam jiwa manusia

Sunat-sunat puasa
  1. Makan Sahur serta melambatkannya
  2. Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
  3. Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
  4. Mandi junub,haid dan nifas sebelum fajar
  5. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
  6. Membaca Al-Quran
  7. Beriktikaf terutama 10 hari terakhir bulan Ramadhan

Perkara makruh ketika berpuasa
  1. Berbekam
  2. Mengeluarkan darah
  3. Berkucup
  4. Merasa makanan
  5. Bersugi selepas gelincir matahari
  6. Mencium wangian

Perkara yang membatalkan puasa
  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja kecuali terlupa
  2. Makan dan minum sepanjang hari
  3. Muntah dengan sengaja
  4. Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
  5. Keluar darah haid dan nifas
  6. Gila
  7. Pitam atau mabuk sepanjang hari
  8. Murtad

Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa
  1. Musafir
  2. Sakit
  3. Mengandung dan Ibu yang menyusukan anak
  4. Tua

Keistimewaan Bulan Ramadhan
  1. Bulan yang mulia,berkat dan setiap doa akan dimakbulkan
  2. Al-Quran diturunkan dalam bulan ini
  3. Iblis dipenjarakan
  4. Terdapat malam yang mulia iaitu malam Lailatul qadar.
  5. Solat tarawikh dan zakat fitrah dilaksanakan. 

Menghormati Bulan Ramadhan
  1. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.
  2. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik di masa hadapan.

Niat Puasa dan Qadha’ Puasa Ramadhan
1.        Lafaz niat puasa fardhu Ramadhan :
Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

2.       Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :
Ertinya :  Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.
Doa Ketika Berbuka Puasa
Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.

Qada’ Puasa Ramadhan
Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’
Hukum Qada’ Puasa Ramadhan
Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran
Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”.(Surah Al-Baqarah Ayat 184)
Waktu Qada’ Puasa Ramadhan
a.       Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.
b.      Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.
Kifarah Puasa
Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.
Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :
1.        Membebaskan seorang hamba yang beriman
2.       Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya  berpuasa 2 bulan berturut-turut
3.       Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang mendapat secupak makanan asasi negeri itu.
Fidyah
Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.
Hukum Fidyah
Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)
Sebab-sebab wajib Fidyah
1.        Tidak mampu melakukan ibadah puasa
2.       Sakit yang tidak mampu untuk sembuh
3.       Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu
4.      Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.

Sumber: Jakim

Sunday, 30 June 2013

Laporan Gotong Royong Pembersihan Tapak Masjid Jamek Puchong Prima ( Sesi #2 )



Alhamdulillah...Segala puji-pujian bagi Allah serta selawat dan salam buat Rasul junjungan, keluarga, para sahabat baginda keseluruhannya.


Dengan izin Allah, program telah berlangsung dengan lancar. Jutaan terima kasih kepada Penyelaras program, Saudara Azhar Samsudin serta AJK dan ahli kariah Surau Al-Muqaddim, Pangsapuri Lili, seluruh AJK Pembinaan & Pengurusan Masjid Jamek Puchong Prima yang turut serta, yang menyokong dari jauh dan dekat juga semua ahli kariah yang hadir meluangkan masa, keringat, tenaga, serta sumbangan jamuan pada hari tersebut. 

Hanya Allah yang akan membalas usaha murni semua yang terlibat. Kita semua tiada lain yg dicari selain "Mencari Keredhaan Allah..."

Berikut disertakan gambar2 sepanjang aktiviti untuk makluman semua:-

Gerbang Papan Tanda/Banner Masjid Jamek Puchong Prima
Penyelaras Program - En Azhar Samsudin
Gotong Royong Bermula







Tumbang juga pohon yang besar hasil kerjasama kita







Pohon yang mana pula kali ini...

Yang ini jadi pilihan...

Yang lain memerhati...

Sama-sama menjadi saksi...



Alang-alang bermandi keringat...biar ku tebang seluruh tempat...



Monday, 24 June 2013

Ceramah Khas Skim Wakaf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Assalamualaikum...Tuan/Puan/Muslimin/Muslimat,

Satu siri Ceramah Khas "Skim Wakaf" oleh wakil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan berlangsung di Surau Al Mawaddah Pangsapuri Orkid pada tarikh dan waktu seperti berikut:-

Tarikh: 25 Jun 2013 ( Selasa ) / 16 Syaaban 1434H
Waktu: Selepas Maghrib (8:00 p.m.)
Lokasi: Surau Al Mawaddah, Pangsapuri Orkid

Semua dijemput hadir.

Wassalam

Tuesday, 18 June 2013

Gotong Royong Pembersihan Tapak Masjid Jamek Puchong Prima ( Sesi #2 )

Assalamualaikum Tuan/Puan/Muslimin/Muslimat,

AJK Masjid Jamek Taman Puchong Prima pada mesyuarat 14/6/2013 sebulat suara untuk mengadakan program gotong royong pembersihan tapak masjid peringkat 2 seperti berikut:-

Lokasi : Tapak Masjid Jamek Taman Puchong Prima

Tarikh : 30/6 /2013 (Ahad)

Masa : 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari

Penyelaras : En.  Azhar Samsudin

Untuk keselamatan peserta-peserta perlu memakai kasut dan membawa peralatan sendiri yang sesuai.

Sila maklumkan kepada ahli kariah dikawasan masing-masing agar dapat bersama -sama dalam aktiviti ini.

Sekian terima kasih.


Setiausaha.

Sunday, 26 May 2013

Notis Mesyuarat (4) AJK Pembinaan dan Pengurusan Masjid Jamek Taman Puchong Prima

KEPADA:-

AJK PEMBINAAN DAN PENGURUSAN MASJID JAMEK TAMAN PUCHONG PRIMA

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat (4) Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengurusan Masjid Jamek Taman Puchong Prima akan diadakan seperti ketentuan berikut:-

Tarikh    :         31hb Mei 2013 (Jumaat)

Masa      :          9.00 malam

Tempat  :         Surau Al-Mawaddah, Pangsapuri Orkid, Taman Puchong Prima

Kehadiran Tuan-Tuan amat dialu-alukankan.


Thursday, 16 May 2013

SUDUT PANDANG...


Alasan kita...???


"Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku...Hanya kerana Allah s.w.t...."

Monday, 29 April 2013

Majlis Khatam Tahfiz Al-Quran di Surau Al-Mawaddah

Assalamualaikum...
Pada hari Sabtu bertarikh 20 April 2013 bersamaan 9 JamadilAkhir 1434H, telah berlangsung Majlis Khatam Tahfiz Al-Quran 2 orang pelajar dari Maahad Tahfiz Al-Haziq (MTAH) Taman Puchong Prima bertempat di Surau Al-Mawaddah Pangsapuri Orkid.

Pelajar-pelajar yang diraikan adalah Adik Lukman Hakim Bin Baharin dan Adik Muhammad Nazrul Afiq Bin Baba. Majlis turut disertai dan disaksikan oleh ibubapa pelajar, ahli keluarga, Ahli Jawatan Kuasa Bantuan Pengurusan MTAH, Ahli Jawatan Kuasa Surau Al-Mawaddah serta ahli kariah Surau Al-Mawaddah. Terlebih dahulu, pada minggu yang lepas seorang lagi pelajar MTAH telah pun khatam hafazan Al Quran dan melangsungkan majlis di kediaman ibubapanya di Bandar Tasik Selatan iaitu Adik Amirul Asyraff Bin Ahmad Kamal Azmi.

Dari kiri: Adik Amirul Asyraff, Adik Muhammad Nazrul dan Adik Lukman Hakim Al-Hafiz
Majlis pada malam tersebut telah bermula selepas solat Magrib dipengerusikan oleh Ustaz Zamri Bin Mohamad dan diserikan dengan alunan Qasidah oleh MTAH.


Alunan Qasidah
  






Jemaah Surau Al-Mawaddah

Ahli keluarga pelajar & kariah surau 

Pelajar-pelajar MTAH

Akhir kata, sekalung tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah bergelar Al-Hafiz dan selamat berusaha kepada yang lain. Semoga beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah...